Thursday, September 30, 2010

Kaitan Masa Dengan Kehidupan

Perkara yang pasti adalah bahawa kehidupan manusia sentiasa dikaitkan dengan suatu bentuk waktu. Dari itu, masa perlu dibentuk agar ia dapat digunakan dengan sepenuhnya. Masa yang digunakan dengan cara teratur dan dirancang dengan tepat akan mendatangkan banyak manfaat dan faedah kepada diri individu itu sendiri. Individu yang menggunakan masanya dengan melakukan kerja-kerja yang berfaedah akan mendatangkan hasil yang banyak.

Jikalau seseorang individu itu salah dalam mengurus masa bererti bahawa masa yang ada pada dirinya itu akan terbuang dengan sia-sia. Individu itu tidak akan melakukan kerja-kerja yang berguna yang mendatangkan faedah bukan sahaja kepada dirinya malah kepada masyarakat. Kehidupan yang dijalani akan terbazir.


Sumber : Omardin Ashaari (1998). Pengurusan Masa. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Masa Kehidupan

Kehidupan manusia terbahagi kepada lima masa yang dilalui oleh mereka sebagaimana berikut :-

1. Masa dalam alam arwah
2. Masa dalam kandungan ibu
3. Masa dalam dunia yang fana
4. Masa dalam alam barzakh
5. Masa hidup di alam akhirat

Roh merupakan salah satu rahsia dan urusan Allah. Ia amat sukar untuk dijangkau oleh alam fikiran manusia itu sendiri. Allah akan memberikan kepada sesiapa yang hendak ditakdirkannya untuk hidup. Allah juga boleh mencabut nyawa seseorang itu jika dikehendaki-Nya

Firman Allah yang bermaksud :

"Apabila ditanya kepadamu wahai Muhammad mengenai roh, katakanlah kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Allah."
(Surah Israk, ayat 85)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa segala perkara yang berkait dengan roh itu hanya ditentukan oleh Allah. Pada hakikatnya, manusia itu sendiri tidak memahami bagaimana perjalanan roh itu dan juga fungsinya.




Sumber: Omardin Ashaari (1998). Pengurusan Masa. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.