Friday, October 1, 2010

Prakata

Segala puji bagi Allah S.W.T seru sekalian alam. Selawat dan salam serta pujian buat Nabi Muhammad S.A.W. Dengan rasa syukur yang tidak terhingga berkat hidayah-Nya, akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan ini.

Untuk menjadi bangsa yang maju, adalah penting untuk mengukur masa dengan hasil kerja yang dilakukan oleh setiap insan. Oleh itu, kita hendaklah menguruskan masa dengan berkesan. Kita juga harus mengelakkan pembaziran masa dalam kehidupan. Dengan pengurusan masa yang berkesan akan menjadikan masyarakat itu maju dalam gaya hidup mereka. Oleh itu, kita harus dapat merancang masa dalam kehidupan.

Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan, justeru itu, saya juga mungkin tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dalam penulisan ini. Jika terdapat sebarang kesilapan, ia bukanlah sesuatu yang disengajakan. Segala teguran yang membina adalah amat dialu-alukan.

Wassalam.

Kata-kata Aluan

Pengurusan masa yang berkesan boleh memperbaiki mutu kehidupan anda. Anda dapat meningkatkan pencapaian kerja melalui pngurusan masa yang berkesan. Pengurusan masa yang berkesan boleh menyediakan perspektif falsafah dan teknik-teknik yang diperlukan bagi mendapatkan faedah yang maksimum setiap hari.

Apabila anda gagal menguruskan masa dengan baik dan juga gagal merancang, matlamat jangka panjang anda hanyalah merupakan angan-angan sahaja. Anda akan menjadi kelam kabut jika perancangan yang dilakukan tidak disesuaikan dengan tugas harian anda. Anda akan mendapati diri anda melakukan perkara terdesak yang kurang penting bagi matlamat atau keberkesanan perancangan jangka panjang anda. Kesimpulannya, hidup ini amat sukar dan anda akan sentiasa menghadapi kesukaran jika tiada perancangan masa yang berkesan. Melalui pengurusan masa yang berkesan, pelbagai tugas yang sukar akan mudah untuk diuruskan.

Kepentingan Pengurusan Masa

Pengurusan masa bermaksud anda mampu menguruskan masa secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah anda lakukan. Pengurusan masa yang berkesan merupakan ciri penting di dalam gaya hidup yang sihat. Menguruskan masa melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa dengan sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa anda. Pengurusan masa amat penting bagi membantu remaja mengurus dan mengendalikan masa dengan bijak dan bertanggungjawab.

Kepentingan pengurusan masa
Apabila anda gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, anda mungkin:
  • Membazir banyak masa yang berfaedah
  • Menjadi tidak produktif
  • Mendapat stress
  • Menjadi cemas dan bimbang
  • Bertambah gusar dan mudah marah
Dan yang paling utama, anda:
  • Gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan.

Pembahagian Masa

Masa dapat dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian yang dimaksudkan itu adalah masa lalu, masa kini dan masa akan datang. Ketiga-tiga bahagian dan peringkat masa itu dilalui oleh setiap manusia yang hidup di dalam dunia ini. Namun begitu, perkara yang pasti adalah semua manusia memiliki masa kini yang ada di tangan mereka.

Dalam konteks Islam, soal masa amat dititikberatkan dan umat Islam amat digalakkan untuk menjaga waktu dan masa. Dari segi perhitungannya, hidup manusia dalam dunia ini bermula dengan masa. Umur manusia itu sendiri merupakan perjalanan masa di atas dunia yang fana ini.