Thursday, August 26, 2010

Ke mana perginya masa?

Setiap manusia memiliki masa yang sama banyak, iaitu 24 jam sehari. Anda tidak boleh mencuri, meminjam, menukar atau membeli masa walaupun anda kaya, berpangkat dan mempunyai kuasa. Walaupun masa yang dimiliki oleh setiap individu sama banyak, namun ada juga segelintir yang merungut masa mereka tidak mencukupi dan ada juga yang yang merasakan masa mereka terlalu banyak. Mengapa perkara ini terjadi?

Anda merungut tidak mempunyai masa yang cukup mungkin disebabkan anda berada dalam situasi-situasi tertentu yang menarik. Misalnya, mungkin anda terlalu sibuk atau sedang bergembira. Jadi, anda merasakan masa berlalu begitu pantas sehinggakan 24 jam itu tidak mencukupi.

Manakala masa anda terasa terlalu panjang mungkin kerana anda bosan, tiada tugas-tugas yang perlu dilakukan dan juga tidak sabar untuk menghadapi sesuatu perkara. Walau apa pun, yang penting adalah anda perlu menggunakan masa yang diberikan sebaik mungkin.

Pengurusan Masa

Setiap orang mahu menguruskan masa dengan baik. Ramai pengurus dan ahli profesional telah berusaha menguruskan masa mereka dengan berkesan. Malangnya, hanya segelintir sahaja yang  berjaya. Pengurusan masa yang berkesan memerlukan lebih daripada apa yang terdapat dalam senarai tindakan dan azam yang kuat dan ia bukan sekadar bangun pagi dan berjanji pada diri sendiri, "hari ini saya akan menguruskan masa dengan baik." Pendekatan tentang masa dinamakan pengurusan masa berkesan hebat. Pendekatan ini memerlukan tiga perkara :-

1.Pemahaman tentang nilai masa dan bagaimana masa dihabiskan.
2.Pemahaman tentang cara-cara khusus dan kemahiran masa.
3.Mengamalkan penggunaan alat dan kemahiran pengurusan masa.

Pengurusan masa berkesan hebat dan pendekatan lain dalam pengurusan mempunyai dua perbezaan utama. Pertama, menghargai pembaziran masa. Kedua, penggunaan Grid Analisis Masa yang unik dan tulen bagi mengenal pasti pola penggunaan masa tertentu anda. Mengenal pasti bagaimana masa dihabiskan adalah langkah pertama dalam memperbaiki kemahiran penggunaan masa.


Terdapat dua perkara yang sering mengurangkan usaha mengurus masa. Pertama, aktiviti yang tidak diduga. Contohnya masalah yang tidak diduga sering menganggu kita melakukan kerja-kerja dalam senarai tindakan. Kedua, ialah memberi keutamaan dalam kerja orang lain. Contohnya, sepanjang waktu bekerja adakalanya rakan-rakan akan meminta bantuan daripada anda.

Saturday, August 21, 2010

Penggunaan Masa Dunia

Untuk menjaga dan memanfaatkan masa sepenuhnya dan bersesuaian dengan tempat dan waktunya bukan merupakan sesuatu tugas yang mudah. Pada zahirnya, ia nampak mudah untuk dilakukan tetapi dari segi perlaksanaannya adalah sukar kerana manusia susah untuk mendisiplinkan diri. Berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh manusia untuk mengelakkan daripada melakukan pekerjaan ataupun untuk melengah-lengahkan tugas yang diserahkan kepada mereka. Masa yang ada pada kita itu adalah hak milik kita. Masa itu merupakan satu keadaan dan ruang di mana kita berada di dalamnya, bermula dari waktu pagi hingga kita tidur.

Pengurusan masa yang baik menumpukan kepada pencapaian matlamat peribadi, kekeluargaan dan membuat pekerjaan yang penting serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan yang membuang masa dan membuat kerja yang tidak berfaedah. Dengan adanya matlamat memudahkan seseorang individu merancang masa depannya dan mendapat pedoman untuk menentukan ke arah mana dan bagaimana caranya ia dapat mencapai matlamatnya itu. Ada baiknya bahawa matlamat hidup itu ditulis dengan jelas, boleh diukur pencapaiannya, mempunyai tempoh untuk melaksanakan tugas dan mempunyai pelan tindakan.

Mengikut kajian, ada banyak sebab terbuangnya masa seseorang individu itu. Mereka membuang masa dengan berlagak senang tanpa mengambil kira perjalanan masa dengan kerja yang sedang dilakukan. Masa yang digunakan dengan kaedah yang tidak terurus akan membangkitkan pelbagai masalah dalam hidup manusia. 




Mengapa Pengurusan Masa Penting?

Kehidupan manusia sentiasa dilingkungi dan diliputi oleh masa. Adalah jelas bahawa masa memainkan peranan penting dalam arus kehidupan manusia. Ada golongan yang berpendapat bahawa masa dapat menentukan sesuatu perkara. Masa menjadikan manusia itu menjadi lebih matang dari segi perilaku dan daya pemikiran mereka. Masa yang berlalu tidak sama dengan masa yang akan datang. Manusia akan sentiasa berlumba-lumba dalam percaturan untuk mencapai suasana hidup yang lebih terserlah.

Dalam Islam sendiri amat menggalakkan umatnya mementingkan soal penggunaan dan pengurusan masa. Segala perkara yang dilakukan oleh umat Islam adalah berdasarkan masa dan waktunya. Oleh itu, kita haruslah menggunakan masa dengan bijaksana dan memanfaatkan masa yang ada. Dalam hubungan ini, kita juga harus mengorak langkah untuk mengelakkan pembaziran masa. Dalam kehidupan kita, kita hendaklah menyusun peruntukan masa bagi setiap gerak laku dan bidang tugas yang dilakukan dalam hidup kita.


Dengan pengurusan masa secara berkesan akan menjadikan masyarakat itu maju dalam hidup mereka. Oleh itu, sebagai usaha dan langkah untuk membina tamadun yang besar, kita haruslah dapat merancang dengan tepat mengenai pengurusan masa tahunan, bulanan, mingguan dan juga harian dalam kehidupan dan hendaklah diperluaskan lagi dalam dunia pekerjaan kita.

Thursday, August 19, 2010

Pandangan Islam Mengenai Masa

Mengikut pandangan Islam, masa amat berharga dan menganggapnya sebagai sesuatu yang amat mustahak. Masa adalah amanah dari Allah kepada manusia dan Islam memandang berat terhadap pengurusan masa. Dalam soal masa dan waktu, Al-Quran dan Hadis amat memberi perhatian dalam perkara ini dari beberapa sudut. Tegasnya, masa merupakan sudut yang terpenting. Masa atau waktu merupakan nikmat dan kelebihan Allah S.W.T yang diberikan kepada manusia. Allah berfirman dengan jelasnya dalam surah Ibrahim, ayat 33-34 yang bermaksud sebagaimana berikut :-

"Dan Dia telah menundukkan bagimu matahari dan bulan yang terus-menerus beredar, dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia mengurniakan setiap permintaan kamu itu, Dan jika kamu hendak memperhitungkan segala nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk memperhitungkannya.."

Dalam Islam, masa memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, gunakan masa dengan cara yang sebaik-baiknya. Manusia akan disoal mengenai penggunaan masanya di dunia di hadapan Allah dihari akhirat. Masa diletakkan di kedudukan yang tertinggi secara tegas dalam pembinaan peribadi seseorang individu itu. Dalam hubungan ini, seolah-olah bermakna bahawa masa itu mempunyai hadnya. Manusia juga digesa supaya membuat kerja dengan sempurna dengan memanfaatkan masa sepenuhnya.

Mitos tentang pengurusan masa yang efektif

Stereotaip bagi pengurusan masa yang efektif berpunca dari satu set mitos. Oleh itu, adalah penting untuk menitikberatkan pengurusan masa tanpa mengetahui mitos yang boleh menyulitkan pengurusan masa anda. Anda mestilah menguasai tiga mitos penting mengenai pengurusan masa supaya menjadi pengurus masa yang efektif.

Mitos 1: Pengurusan masa terlalu menitikberatkan perincian.
-Ramai orang yang tidak gemar kepada perincian masa. Bilangan orang yang sanggup menerima secara positif pengendalian yang rumit ini terlalu kecil. Kebanyakannya tidak memberikan perhatian teliti kepada perincian. Sungguhpun pengurusan makro menentukan perincian yang rapi, namun penekanan bukanlah tertumpu kepada perincian semata-mata.

Mitos 2: Pengurusan masa adalah mekanikal.
-Pengurusan masa dianggap bersifat teknikal kerana orang lebih tertumpu pada proses yang lebih kecil tapi jelas. Adalah lebih mudah jika melihat jadual waktu orang yang terurus. Apa jua bahagian sistem pengurusan masa akan dianggap mekanikal. Walau bagaimanapun, ini baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya dan tidak mencerminkan hal-hal lain yang terkandung dalam persediaan senarai dan jadual tersebut.

Mitos 3: Pengurusan masa mengurangkan kefleksibelan dan kespontanan.
-Pengurus masa yang efektif membuat rancangan dan bekerja keras bagi memastikan rancangan berjalan mengikut jadual. Pendekatan ini menghasilkan perubahan yang ketara dan di luar jangkaan. Sesetengah orang membuat tanggapan terlalu bergantung pada rancangan tertentu menjadikan seseorang itu kurang fleksibel. Perancangan tidak semestinya menghalang kefleksibelan. Apabila rancangan tidak berjalan, orang yang bijak akan mengetepikan rancangan tersebut dan mencari kaedah lain yang sesuai. Peluang untuk kaedah yang kreatif dan spontan bagi pelaksanaan rancangan memang banyak kecuali bagi sesuatu rancangan itu terlalu terperinci. Salah satu daripada manfaat yang diperolehi oleh seseorang yang terurus dan bekerja mengikut rancangan ialah beliau dapat mengurangkan tahap keterdesakan yang dihadapi saban hari.

Wednesday, August 11, 2010

TEST EDIT

TESTING. ONE... TWO... THREE... ok ok..

This is fasting month... may god bless u all.