Saturday, August 21, 2010

Mengapa Pengurusan Masa Penting?

Kehidupan manusia sentiasa dilingkungi dan diliputi oleh masa. Adalah jelas bahawa masa memainkan peranan penting dalam arus kehidupan manusia. Ada golongan yang berpendapat bahawa masa dapat menentukan sesuatu perkara. Masa menjadikan manusia itu menjadi lebih matang dari segi perilaku dan daya pemikiran mereka. Masa yang berlalu tidak sama dengan masa yang akan datang. Manusia akan sentiasa berlumba-lumba dalam percaturan untuk mencapai suasana hidup yang lebih terserlah.

Dalam Islam sendiri amat menggalakkan umatnya mementingkan soal penggunaan dan pengurusan masa. Segala perkara yang dilakukan oleh umat Islam adalah berdasarkan masa dan waktunya. Oleh itu, kita haruslah menggunakan masa dengan bijaksana dan memanfaatkan masa yang ada. Dalam hubungan ini, kita juga harus mengorak langkah untuk mengelakkan pembaziran masa. Dalam kehidupan kita, kita hendaklah menyusun peruntukan masa bagi setiap gerak laku dan bidang tugas yang dilakukan dalam hidup kita.


Dengan pengurusan masa secara berkesan akan menjadikan masyarakat itu maju dalam hidup mereka. Oleh itu, sebagai usaha dan langkah untuk membina tamadun yang besar, kita haruslah dapat merancang dengan tepat mengenai pengurusan masa tahunan, bulanan, mingguan dan juga harian dalam kehidupan dan hendaklah diperluaskan lagi dalam dunia pekerjaan kita.

No comments:

Post a Comment